MENU

Sumber Kajian
 

1.

Sumber-sumber yang diperolehi dari Arkib Negara Kuala Lumpur yang boleh dijadikan bukti-bukti penempatan awal Kampar adalah seperti berikut:-

 

1.1

Berdasarkan minit dari fail KL0523/1900 BERTARIKH 20.7.1900 BERTAJUK ‘Sultan's Mining Land at Kampar, payment of arrears of rent on' dari Pemungut Hasil Tanah (CLR) menyatakan pada tahun 1891 telah lima tahun cukai tanah seluas 160 ekar telah tidak dijelaskan dan sehingga kini (1900) telah 14 tahun cukai tersebut sebanyak RM2,240.00 telah tidak dijelaskan.

   
 

1.2

Berdasarkan Galian Perak 1059/48, Book No. 64, Mines Record Book of Mining Leases, tarikh awal pajakan lombong dikeluarkan adalah pada 17.1.1888, No. Pajakannya adalah ML 4290 seluas 23A.3R.24P atas nama Eu Tong Seu yang terletak di Kampar (Kanggor). Bagaimanapun pekerja (coolies) diambil bekerja semasa catatan diambil pada 19.11.1904. Lombong tersebut beroperasi sehingga 27.3.1911 apabila pembatalannya dibuat pada tarikh tersebut.

   
 

1.3

Bagi perbandaran(town ship) pertama kali disebut, berdasarkan fail KLO No. 976/97 bertarikh 5.11.1897 mengenai permohonan Imam Prang mengenai pentas (Theatre) dan pasar (Market) di Mambang Diawan.

   
 

1.4

Manakala dalam minit dari fail KLO 55/05 dari Pegawai Daerah Kinta bertarikh 28.12.1904 ada menyebut mengenai penyusunan semula lot-lot di Bandar Kampar dan pembayaran yang dikenakan kepada pemilik-pemilik lot-lot tesebut telah dikenal pasti.

   

2.

Berdasarkan artikel Datuk Hashim bin Sam Abdul Latiff, penempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan peristiwa pembunuhan J.W.W Birch sebagai Residen British di Perak kerana Ngah Jabor sebagai peneroka awal Kampar adalah seorang yang terlibat dalam pembunuhan tersebut, yang lain-lainnya termasuklah Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Putum dan sebagainya. Bagaimanapun Ngah Jabor terlepas dari sebarang hukuman apabila Raja Idris (Dris) yang kemudiannya menjadi Sultan Perak pada tahun 1887 menjadi Hakim mengadili orang-orang yang terlibat dalam pembunuhan Birch pada tahun 1876

Raja Idris dan Ngah Johor mempunyai hubungan kekeluargaan sebagai saudara sesusu kerana semasa kecil Raja Idris disusui oleh ibu Ngah Jabor dan menjadi amalan biasa bagi keluarga Diraja menyusukan anaknya kepada orang lain terutama dari golongan orang-orang kenamaan.
Antara tahun 1876 sehingga 1886 kemungkinan Ngah Jabor menghilangkan diri untuk betapa/menuntut ilmu bagi melengkapkan diri dan muncul kembali di kalangan umum dengan satu identiti yang baru sebagai Mohamad Jabor. Kemungkinan pada masa menyepikan diri itu beliau telah membuka penempatan baru di Kampar untuk mengelakkan diri dari pengetahuan British.

Apabila Daerah Kampar dibuka dengan rasmi untuk pajakan lombong pada tahun 1894, Mohamad Jabor adalah salah seorang dari orang yang terawal memiliki lombong-lombong tersebut dengan pajakan lombong yang bernombor ML 882 bertarikh 18.11.1894, seluas 22 ekar dengan pekerja seramai 167 orang. Pada tahun yang sama juga ia telah memiliki dua pajakan lombong yang melibatkan keluasan 55 ekar dan 10 ekar, di mana keseluruhannya berjumlah 90 ekar. Daripada keluasan tanah tersebut Mohamad Jabor menjalankan kegiatan perlombongan sehingga ke tahun 1910.

   

3.

Menurut kajian En. Chye Kooi Loong pula pada tahun 1886 seorang pemimpin Melayu yang berkaliber dan dinamik bernama Imam Prang Jabor adalah bertanggungjawab membuka perkampungan Melayu di hilir Sungai Kranji berdekatan pasar lama Kampar. Perkampungan asal ini dikenali sebagai Mambang Diawan sempena nama Gunung Mambang Diawan yang tingginya 1,455 kaki yang bermakna ‘Fairies Among the Cloud'.

Apabila didapati daerah Lembah Kinta termasuk Kampar kaya dengan bijih timah hasil kajian oleh jurutera perlombongan Perancis menjadikan Kampar satu penempatan yang untung untuk diterokai. Imam Prang Jabor menggalakkan para pengikutnya melombong dengan cara menggorek lubang-lubang kecil di kaki-kaki bukit dan medulangnya di tebing-tebing sungai. Di samping itu Imam Prang Jabor memberitahu pihak pentadbiran British iaitu J.B.M Leech sebagai Pegawai Daerah dan Majistret di Kinta. J.B.M Leech kagum dengan keterangan tersebut seterusnya mengajak Maxwell seorang kadet M.C.S dan Bramforth seorang jurukur melawat ke tempat di mana aktiviti perlombongan itu dijalankan.

Seterusnya J.B.M Leech memilih satu kawasan di tebing kanan Sungai Kranji untuk tapak lot kedai. Bermula dari sinilah usaha-usaha perlombongan telah giat dijalankan untuk kehadiran pelombong Cina dan Eropah. J.B.M Leech berpendapat nama Mambang diawan terlalu panjang untuk sebuah pekan yang sedang membangun lalu mengambil nama Sg. Kampar yang mengalir berhampiran untuk menggantikan nama asalnya menjadi Kampar. Bagi pelombong-pelombong Cina memanggilnya Kam Poh yang bererti berharga seperti emas