MENU

Antara bukit-bukit batu kapur dan marmar yang terindah di Malaysia adalah Gua Tempurung. Tersembunyi di dalam batu kapur ini adalah satu rangkaian sistem gua dalam berbagai dimensi dan berangkaian seolah sarang lebah. Gua-gua ini sesungguhnya adalah sebuah galeri yang menyimpan beribu bentuk stalakmit dan stalaktit dan lain-lain bentuk ukiran batu yang merupakan warisan alam yang amat menakjubkan. Gua Tempurung merupakan gua utama di banjaran ini. Ia berlengkar di dalam perut Gunung Tempurung sebagai satu terowong dari timur menembusi ke barat sepanjang 1.9 km. Kini jejantas dan tangga telah disediakan di dalam sebahagian daripada gua-gua tersebut dan dengan adanya kemudahan ini, lawatan ke dalam gua kini amat mudah dan selesa.

Sebahagian daripada gua ini dilengkapi dengan lampu terang biasa untuk menyinari keadaan asli dan semulajadi gua ini. Dalam pada ini, pengunjung dapat menghayati keindahan ciptaan alam semulajadi dengan lebih dekat lagi. Dari Lebuhraya Utara-Selatan susur keluar melalui persimpangan Gopeng, kira-kira 25 km ke selatan bandaraya Ipoh. Dari persimpangan Gopeng, masuk ke Lebuhraya Persekutuan 1 (jalan lama) dan tuju ke selatan kira-kira 2 km sehingga Kampung Gunung Mesah. Belok ke kiri, dan lalui jalan kampung sepanjang 5 km. Jalan kampung ini boleh digunakan oleh semua jenis kenderaan termasuk bas. Selepas melalui kampung ini, anda akan melalui tanah bekas lombong. Untuk menyenangkan pengunjung, terdapat banyak papan tanda di sepanjang jalan menuju ke Gua Tempurung.